LAMAN BLOG MEMAPARKAN BAHAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN UNTUK BAHASA MELAYU

INFO


Info Bahasa

TAKRIF BANGSA MELAYU

Bangsa Melayu adalah satu bangsa yang mengamalkan adat resam Melayu, bertutur dalam bahasa Melayu serta hidup dalam budaya Melayu.
Menurut Abdul Rahim Kajai, bangsa Melayu adalah penduduk asal gugusan kepulauan Melayu atau alam Melayu seperti di pulau Jawa, Bugis, Madura, Bawean, Minangkabau dan juga Banjar. Orang Asli seperti suku kaum Semang, Jakun dan Pangan termasuk dalam definisi Melayu kerana mereka juga adalah penduduk asli di Semenanjung.

Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan bahawa, “jika seseorang itu bangsa Melayu, dia akan tetap dan kekal sebagai bangsa Melayu, walaupun dia dilahirkan di Kutub Utara, bertukar kerakyatan, hatta bertukar agama sekalipun”.
Beliau menjelaskan lagi “undang-undang keturunan sesuatu bangsa adalah menurut hukum Allah, rasul, adat manusia dan segala makhluk Allah, iaitu haiwan dan kayu kayan berdasarkan di sebelah bapa.

Mereka yang bukan Melayu termasuk lelaki bangsa lain yang berkahwin dengan perempuan Melayu dan bangsa anak mereka adalah mengikut bangsa sebelah bapa. Contoh lelaki bukan Melayu seperti India muslim, Cina muslim, Arab dan lain-lain bangsa selain Melayu.

Gagasan Abdul Rahim Kajai adalah bersifat tertutup dan ketat. Bukan sebarang manusia boleh diterima berbangsa Melayu walaupun ia menganut Islam sekalipun. Gagasan beliau lebih mengutamakan warisan, keturunan, persamaan dalam sosiobudaya dan geografi.

Sumber: petikan rencana ‘Ruangan Rabu’ – Berita Harian, 8 November 1989 oleh Kamarudin Musa dari Raja Mohd. Yusof Raja Othman.

ABDUL RAHIM KAJAI-BAPA KEWARTAWANAN MELAYU

Abdul Rahim Kajai dilahirkan di Selangor pada tahun 1894 dan meninggal dunia pada 5 Disember 1943. Nama penuh beliau ialah Abdul Rahim Haji Salim. Beliau menerima pendidikan awal sehingga Darjah 5 Sekolah Melayu di Setapak (1905) dan kemudiannya dihantar ke Mekah untuk belajar agama dan bahasa Arab.

Sejarah hidup Abdul Rahim Kajai
Sekembalinya dari Mekah pada 1909, beliau berkerja dengan sebuah percetakan kerajaan di Kuala Lumpur dan kemudian berhijrah ke Singapura dan bertugas di Malaya Publishing House. Beliau kembali ke Kuala Lumpur dan kemudiannya bertugas sebagai pelukis pelan dengan Jabatan Ukur. Apabila ayahnya meninggal dunia pada 1913, beliau meletakkan jawatannya dan berhijrah semula ke Mekah untuk menguruskan perniagaan ayahnya dan menjaga adik perempuannya. Perang Dunia Pertama meletus dan beliau terus berada di Mekah sehingga tahun 1917.

Sekembalinya ke tanah air, beliau menunjukkan minatnya dalam bidang kewartawanan. Beliau ke Mekah sekali lagi tetapi sebagai wartawan dan mewakili akhbar mingguan EDARAN ZAMAN di bawah pimpinan Mohd. Yunus Abdul Hamid yang diterbitkan di Pulau Pinang pada tahun 1925. Beliau bertugas selama tiga tahun dengan akhbar berkenaan dan apabila kembali ke tanah air beliau berkerja pula dengan akhbar SAUDARA yang dipimpin oleh Syed Sheikh Al-Hadi.

Beliau kemudiannya menggunakan nama pena Abdul Rahim Kajai. Kajai adalah nama sebuah tempat di Sumatera iaitu tempat asal kelahiran ibubapanya. Pada 5 April 1930, beliau telah dilantik menjadi penolong editor Saudara dan pada 30 Ogos tahun yang sama dilantik sebagai editor. Pengalamannya di Pulau Pinang bertambah sebagai editor di mana beliau berjaya melahirkan tiga jilid HIKAYAT DZUL-RUHAIN.

Pada 17 Disember 1931 sebuah akhbar dwi-mingguan MAJLIS telah diterbitkan dan beliau telah menjadi editornya yang pertama dan apabila impiannya untuk menjadikan MAJLIS sebagai penerbitan harian tidak tercapai, beliau meninggalkan MAJLIS dan menjadi salah seorang editor WARTA MALAYA sebuah akhbar harian yang dipunyai oleh Syed Husin bin Al-Sagaf. WARTA MALAYA diterbitkan di Singapura dan beliau menjadi korespondennya di Kuala Lumpur.

Apabila Syed Husin menerbitkan dua buah majalah iaitu WARTA AHAD dan WARTA JENAKA, beliau telah diamanahkan untuk menulis editorial dan cerita, humor untuk majalah berkenaan. Beliau terpaksa berpindah ke Singapura sehingga Perang Dunia Kedua meletus dan bertugas dengan akhbar berkenaan selama empat tahun setengah sebelum dilantik menjadi editor Utusan Melayu, Utusan Zaman dan majalah bulanan MUSTIKA (kemudiannya ditukar nama kepda MASTIKA).

Beliau meninggalkan Singapura pada 20 Disember 1941 dan menerbitkan PERUBAHAN BAHARU pada Mac 1942. Beliau tidak bertahan lama di situ dan kembali ke Singapura dan menggerakkan BERITA MALAI yang mula terbit pada 1 Januari 1943.
Sebagai Bapa Kewartawanan Melayu, beliau menjadi mentor kepada wartawan Melayu sebelum perang. Apa yang diluahkan oleh anak didik beliau adalah berkisar tentang permasalahan orang Melayu dan beliau juga merupakan nasionalis Melayu yang terawal. Beliau menjadi ahli jawatankuasa Persatuan Melayu Singapura dan juga menjadi tenaga penting penggerak Persatuan Melayu Selangor dan Persatuan Melayu Pahang.
Nama beliau akan sentiasa dikenang sebagai wartawan ulung dan perintis cerita pendek di dalam dunia sastera Melayu. Beliau telah menulis sebanyak 48 buah cerpen dengan pelbagai tema.

Karya Cerpen:
Pusaka Kajai, Singapura, Qalam Press Ltd. 1949
Banyak Udang Banyak Garam, Singapura, Geliga Ltd. 1949
Lain Padang Lain Belalang, Singapura, Geliga Ltd. 1961
Terjemahan:
Hikayat Dzul-Ruhain, Singapura, Qalam Press Ltd. 1928
Cerita Dzul Ruhain, Penang: Jelutong Press, 1930
Sumber asal: sasteramaya.tripod.com dan wikipedia.org

A. SAMAD ISMAIL-TOKOH WARTAWAN,NASIONALIS,BAHASA DAN SASTERA MELAYU

“Kita tidak boleh membincangkan masa depan bahasa Melayu tanpa membincangkan masa depan masyarakat Melayu. Bahasa Melayu ialah produk kehidupan orang Melayu. Sejarah bahasa Melayu ialah sejarah orang Melayu. Masa depan bahasa Melayu akan menjadi masa depan orang Melayu juga.”
 – demikian kata-kata Allahyarham A. Samad Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Samad.
Tan Sri A. Samad Ismail atau Pak Samad lebih dikenal sebagai tokoh wartawan, sasterawan dan nasionalis. Walaupun begitu Pak Samad sebenarnya turut dikenal sebagai pejuang bahasa dan sastera Melayu.

Allahyarham A. Samad Ismail

Sejarah ringkas
Allahyarham Pak Samad dilahirkan pada 18 April 1924 di Singapura. Berikut adalah biodata ringkas beliau:-

Utusan Melayu. 1941 (16 tahun).
Pengarang, Berita Malai. 1944 (20 tahun).
Penolong Pengarang, Utusan Melayu. 1946.
Pengarang Pertama, Berita Harian. 1959.
Ahli panel Hadiah Karya Sastera. 1971.
Pengarang Urusan, kumpulan akhbar The New Straits Times (NST). 1974.
Penasihat Jabatan Pengarang, NST. 1984 – 1988.
Lain-lain: Pengasas Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur.

Pak Samad pernah terlibat aktif dalam memberikan pandangan beliau tentang bahasa Melayu dalam Kogres Bahasa dan Persuratan Melayu di Universiti Malaya, Singapura sehingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau juga menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mula dicetuskan pada tahun 1968.

“Mutiara tidak mungkin dapat dikaji tanpa merujuk kepada tiram yang menghasilkan mutiara, serta memahami penyakit tanpa mengetahui bakteria yang menjadi puncanya.” – tegas Pak Samad melalui akhbar The Singapore Standard pada 6 Mei 1953.

Kedudukan Bahasa Melayu

Pak Samad menyedari peri pentingnya bahasa Melayu dijadikan bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di Malaysia. Sejak awal lagi Pak Samad begitu mengutamakan bahasa Melayu dan ingin memastikan bahawa bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Malaysia. Pandangan beliau banyak dilontarkan melalui tulisan dan ceramah beliau di merata-rata tempat. Beliau telah memanfaatkan sebahagian daripada kehidupannya untuk memajukan dan memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat.

Dengan kedudukannya sebagai pengarang akhbar bahasa Melayu, beliau sentiasa menyemarakkan semangat dalam kalangan penulis, masyarakat dan pembaca agar mencintai dan memajukan bahasa Melayu ketika bahasa Melayu dipandang rendah dan akhbar Melayu tidak mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Beliau mengkritik keras orang Melayu yang berpendapat bahawa bahasa Melayu tidak mampu mengungkapkan ilmu sainstifik dan pemikiran moden, maka bahasa Inggeris digunakan, dan bukannya bahasa Melayu. Golongan ini, menurut beliau tidak memahami hubungkait antara perkembangan sosial dengan perkembangan bahasa.

Hujah beliau, “kita perlu yakin bahawa bahasa Melayu dapat mencapai kedudukan mantap dan kekayaan kosa kata seiring dengan kemajuan masyarakat di Malaya”.
Kata beliau lagi, “suatu hari, bahasa Melayu akan menjadi wahana penting untuk memenuhi aspirasi politik, budaya, dan spirirual rakyat”.

Pak Samad tidak lokek dengan ilmu dan sentiasa berusaha untuk menambah ilmunya. Minat dan tabiat membaca yang mendalam beliau terpancar melalui koleksi buku beliau. Sesiapa sahaja yang pernah berkunjung ke rumah beliau di Petaling Jaya, sudah pasti akan terpesona dengan himpunan buku beliau yang dimiliki oleh beliau. Kecintaan terhadap buku menyebabkan beliau memberikan pesanan dan wasiat kepada anak-anak beliau agar buku-buku beliau dipelihara dan tidak dibawa keluar dari rumah apabila beliau sudah tiada.

Begitu juga dengan tabiat membaca. Pada saat-saat beliau tidak lagi begitu bertenaga untuk bergerak di luar rumah, membaca akhbar merupakan kewajipan beliau pada setiap hari. Boleh dikatakan hampir semua akhbar dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris ada di atas katil beliau.

Anugerah Tokoh Wartawan Negara, melalui tugas dan sumbangan beliau sebagai pengarang pada zaman premerdeka dan pascamerdeka itu bukan sahaja telah banyak menentukan corak kewartawanan dunia persuratkhabaran di Malaysia, tetapi juga membantu memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu.

Penulisan Sastera

Beliau menyedari hakikat bahawa salah satu langkah untuk memajukan bahasa Melayu adalah melalui penulisan sastera. Allahyarham Pak Samad menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan wartawan, antara tahun 1966 hingga tahun 1975. Namun, dalam berkarya, beliau paling profilik pada dekad 1960-an. Antara karya beliau termasuk:-
Kail Panjang Sejengkal (1963)
Patah Sayap Terbang Jua (1966)
Mengasah Bakat (1966)
Kursus Wartawan (1966)
Tembok Tidak Tinggi (1967)
Orang Jauh (1967)
Bimbingan Penulis (1967)
Menduga Lautan Dalam (1968)
Menimba Yang Jernih (1968)
Detik-detik Cemas (1969)
Orang Lama (1969)
Hussein Zet (1970)
Sutinah (1975)
Memoir A. Samad Ismail di Singapura (1993)
Hud (1995)
Antara antologi cerpen beliau termasuklah:-
Mekar dan Segar (1959)
Karangan Bunga Dari Selatan (1963)
Antara cerpen beliau pula termasuklah:-
Temasya Tinta (1967)
Mastura (1967)

Pada tahun 2005 pula, DBP telah menghimpunkan 20 buah cerpen beliau dalam antologi Edisi Pagi yang pernah disiarkan dalam pelbagai media seperti Semangat Asia, Mastika, Berita Minggu, Fajar Asia, Mastura, Temasha Tinta, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Cerpen beliau yang pertama adalah pada tahun 1944, dan cerpen beliau yang terakhir adalah pada tahun 1991.

Pemergian beliau pada usia 84 tahun pada 4 September 2008 meninggalkan legasi yang bukan kecil kepada dunia kewartawanan, kesusteraan dan kebahasaan.
“Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meniggalkan nama.”
Sumbangan beliau dan jasa Allahyarham Pak Samad yang amat besar dalam dunia kebahasaan, kesusteraan, penulisan dan kewartawanan merupakan khazanan yang tidak ternilai kepada bangsa Melayu dan negara Malaysia.

Sumber:- Dewan Bahasa, Oktober 2008 (Jeniri Amir)
Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia?
Bahasa ini dipanggil dengan pelbagai nama, namun nama yang paling popular ialah "Bahasa Melayu" dan "Bahasa Malaysia". Namun begitu, di Malaysia, kekeliruan telah muncul dalam kalangan rakyat mengenai nama apakah yang patut digunakan sebagai nama rasmi.

Ada pihak yang memikirkan "Pada era kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahmansebagai Perdana Menteri pertamanya memperkenalkan istilah "Bahasa Malaysia" sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Istilah ini kemudiannya diguna pakai secara meluas." Sebenarnya istilah Bahasa Malaysia itu tidak disumbangkan oleh YAB Tunku Abdul Rahman, tetapi timbul secara spontan selepas Mei 13, 1969. Ini terbukti dalam liputan akhbar pada masa tersebut. Pada masa itu wujud semacam persetujuan ramai terhadap istilah Bahasa Malaysia. Namun, Perlembagaan Malaysia tidak berubah.

Pada tahun 1986, istilah "Bahasa Malaysia" ditukar kepada "Bahasa Melayu". Menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, "bahasa kebangsaan [Malaysia] ialah bahasa Melayu".[3]  Namun begitu, Pada 4 Jun 2007Kabinet membuat keputusan untuk menukarkan penggunaan "Bahasa Melayu" kepada "Bahasa Malaysia". Kabinet mengarahkan supaya semua kementerian, universiti dan pusat pengajian tinggi supaya memaklumkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menggunakan istilah "Bahasa Malaysia" dalam surat-menyurat, notis dan dokumen. Rasionalnya ialah untuk menanam semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.[4][5][6] Pada 5 November 2007, Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Seri Zainuddin Maidin, menegaskan lagi bahawa penggunaan istilah baru "Bahasa Malaysia" adalah muktamad.[7]


INFO BAHASA

Rapat dan mantap. Melibatkan 16 perkataan dalam Bahasa Malaysia yang ditulis secara rapat tanpa proses penjauhan huruf walaupun melibatkan dua ayat. Mengikut penerangan yang telah dimantapkan. Hanya 16 perkataan ini sahaja yang perlu dirapatkan ejaannya. Selain daripada itu, sebarang ejaan yang melibatkan dua ayat perlulah di jauhkan.

1. antarabangsa
2. beritahu
3. bumiputera
4. kakitangan
5. kerjasama
6. olahraga
7. tandatangan
8. matahari
9. setiausaha
10. sukarela
11. tanggungjawab
12. warganegara
13. pesuruhjaya
14. ubahsuai
15. jawatankuasa
16. suruhanjaya


GAJAH
Memang disedari bahawa haiwan tanah terbesar di dunia bukan sahaja seberat satu tan, tetapi boleh menghasilkan bunyi satu ton juga. Gajah menggunakan lebih daripada 25 panggilan yang berbeza. Belalainya bertindak seumpama sejenis ruangan gema, pengeras suara yang meledak keluar dari paru-paru besarnya. Gajah juga dapat berkomunikasi dari jarak jauh dengan bantuan infrabunyi-berfrekuensi rendah, bunyi gemuruh sub sonik yang sebenarnya boleh dirasai melalui kulit gajah yang sensitif pada kaki dan belalainya. Di situ ada kesempatan untuk pergi menala antara satu sama lain.

IKAN PAUS
Ikan paus boleh melakukan jeritan yang menyeberang lautan secara harfiah. Bagi ikan paus biru, dengan bersin yang boleh didengari di sisi lain dunia. Bunyiannya boleh mencecah setengah jam dan lebih dari 100 batu jauhnya boleh didengar. Paus sprema menggunakan bunyi untuk berburu biarpun dalam kegelapan kedalaman dasar laut, menyelam dan mengemudi, seperti kelawar dengan signal sonar yang dapat ditembak dengan kuasa untuk melumpuhkan sotong. Itu adalah senjata yang mengagumkan.

No comments:

Post a Comment